Monday, April 23, 2012


Sedih.

Anakanda Yanie telah pergi untuk selama-lamanya. Dalam usia yang belum mencapai usia 2 tahun.

Alhamdulillah.

Syukur. Dia pergi sebagai bidadari syurga. Tanpa dosa. Tanpa hisab. Tanpa persoalan apa-apa pun dari Penciptanya. Dan dia pergi dengan redha kedua ibu bapanya. Walaupun secara tiba-tiba, dan cuma memberikan peluang 3 hari untuk ibu bapanya menatang dirinya sebelum pergi untuk selama-lamanya.

Cemburu.

Saya 'cemburu' pada sahabat saya. Dia pilihan Allah. Diberikan kesedihan yang teramat di dunia demi kegembiraan di akhirat. Bukankah akhirat itu matlamat UTAMA kita? Di sana sudah ada bidadari kecil yang menantinya. Menunggu ibu bapanya dengan penuh rindu..

**

Semalam sebelum saya melelapkan mata, saya menerima sms daripada sahabat saya. Sms yang menyebabkan saya mengucap syukur alhamdulillah. SubhanAllah Maha Suci Allah. Dan saya tidur dengan perasaan gembira dan berharap agar saya mendapat khabar gembira lagi keesokan harinya..

Namun ketentuan Allah tidak ada sesiapa pun yang tahu. Esoknya mendapat berita duka di FB sahabat saya. Innalillahi wa ina ilahirraji'uun.. Yanie sayang telah pergi untuk selama-lamanya.

Mulanya saya tidak menangis. Saya cuma terdiam. Beberapa ketika baru berani menghubungi sahabat saya.

Suaranya tenang sahaja. Saya mengucapkan takziah dan sabar. Saya tahu dia kuat. Di akhir perbualan dia menyatakan yang dia sempat dodoikan Yanie sebelum dia menghembuskan nafasnya yang terakir. Sahabat saya mendodoi anaknya dengan kalimah la ilaha illallah.. Sejurus selepas talian diputuskan, barulah saya menangis mengenangkan perasaannya sewaktu membelai anaknya untuk kali terakhir. SubhanAllah.. dia diberikan kesempatan oleh Allah untuk berada di samping si bidadari Syurga buat kali terakhirnya di dunia ini. Bagaimana dengan pengakhiran kita? Ya Allah..

Saya maklumkan kepada suami. Dan kami berhajat mahu pergi mengiringi bidadari kecil untuk kali terakhirnya perjalanan dia di dunia ini. Kami sampai di tanah perkuburan Sungai Ramal dan di sana sudah ramai kawan-kawan sahabat saya sudah berkumpul. Sayu hati saya melihat jenazah Yanie. Melihat ayahandanya yang berada di liang juga menyebabkan hati saya sebak. Dia menurunkan anaknya dan bersungguh-sungguh melakukannya dengan tabah. Saya mencari-cari kelibat sahabat saya. Dari jauh saya melihat dia asyik mengesat air matanya. Saya tidak mahu pergi dekat. Saya juga berasa sedih. Bimbang saya dan dia akan menangis di saat-saat kesabaran harus dihadapi. Tidak elok menangis di tanak perkuburan. Carilah redha dan tabah sebanyak-banyaknya. Apabila doa dibacakan, saya duduk di belakang sahabat saya. Dan saya terpaksa 'keras'kan hati tatkala mendengar pertanyaan anak sulungnya Kimi mengapa adiknya masuk ke dalam tanah? Saya hanya diam. Sahabat saya cuma memeluk Kimi. Saya tahu dia sangat berperang dengan perasaan sedihnya di saat itu. Kasihan si abang Kimi. Dia masih terlalu kecil untuk memahami erti perpisahan dan kematian. Bagaimana dia mahu menghadapi suasana di rumah tanpa adik kecilnya? Ya Allah.. Kuatkan lah semangat mereka ini..

Saya bergegas pulang selepas semuanya selesai. Saya memeluk sahabat saya. Dia meminta saya doakan dia agar diberikan kesabaran. Saya cuma tersenyum dan berkata jangan risau.. Allah telah memilihmu menjadi ibu kepada bidadari Syurga.. Dan saya tidak ada itu semua.. Kamu adalah pilihan Allah..
Semoga dia menjadi ibu yang redha terhadap kehilangan yang sementara ini..

Sahabatku Siti Alinah yang sangat saya kasihi.. Di harap tulisan di bawah ini dapat memberikan senyuman buatmu dan suamimu.. Semoga kalian berdua tabah dan kuat sehingga bertemu lagi dengan si bidadari syurga Sarah Izzyanie di akhirat kelak.. Semua yang terjadi adalah yang terbaik dijadikan oleh Allah untuk kamu berdua..

Di samping para malaikat dan Hurul-Aini (bidadari syurga), maka kanak-kanak yang meninggal dunia sebelum baligh juga menyambut kedatangan ibu bapanya di pintu syurga.

Sabda Rasullulah saw yang bermaksud : "Ketika aku mikraj ke langit, tiba-tiba aku mendengar suara kanak-kanak. Aku bertanya : " Wahai Jibril, siapakah mereka itu?" Jibril menjawab : Mereka adalah anak cucu orang Islam yang meninggal dunia sebelum baligh. Mereka itu diasuh oleh Nabi Ibrahim AS sampai orang tuanya datang."
(HR. Abu Daud)
Anak-anak orang Islam yang meninggal dunia pada waktu kecil, di alam Barzakh dia dikumpulkan pada suatu tempat di bawah penjagaan Nabi Ibrahim as. Setelah kiamat tiba, mereka langsung dipindahkan ke dalam syurga. Jadi mereka tidak melalui Mahsyar, hisab, mizan dan sebagainya.
Sabda Rasullullah SAW yang bermaksud : "Tiap-tiap anak orang Islam yang mati sebelum baligh akan dimasukkan ke dalam syurga dengan rahmat Allah."
(HR. Bukhari dan Muslim)
Setelah dipindahkan ke dalam syurga, maka anak-anak kecil ini lupa kepada kehidupan dunia. Mereka lupa kedua ibu bapanya, lupa kepada kampung halamannya dan sebagainya. Tiba-tiba pada suatu hari, ketika mereka sedang bermain-main menikmati kesenangan syurga, maka ada malaikat yang memberitahukannya: "Wahai Wildan, lupakah kamu kepada kedua orang tuamu? Sekarang mereka sudah berada di pintu syurga.
Ketika itulah baru mereka tahu dan ingat kembali kepada ayah bonda mereka yang selama ini mereka lupakan.
Mendengar apa yang dikatakan oleh malaikat itu, dalam keadaan menangis dan membawa air dengan segera mereka berlari menuju ke pintu syurga. Sesampainya di sana, mereka melihat Hurul-Aini sedang tegak berbaris sepanjang jalan dengan memakai pakaian dan perhiasan yang serba indah.
Setelah pintu syurga terbuka, dengan diiringi nyanyian merdu Hurul-Aini, maka orang-orang pun berebut masuk ke dalamnya, dan ketika itulah anak-anak kecil ini sibuk mencari kedua ibu bapanya. Mereka mencari ke sana ke mari, tetapi tidak berjumpa. Sambil menangis dan memgang air di tangan maka pergilah mereka kepada malaikat serta bertanya: "Wahai malaikat, mana ayah dan ibu kami?"
Menjawab malaikat: Wahai Wildan, sungguh malang nasib kamu, kedua orang tua kamu terjatuh ke dalam neraka." Mendengar ungkapan yang demikian itu, maka anak kecil tadi menangis sejadi-jadinya, menangis menghiba dengan ratapan yang menyayat hati: "Wahai ibuku, wahai ayahku, apakah kesalahanmu? Apakah dosamu sehingga kamu terjatuh ke dalam neraka? Begitulah ratapan mereka.
Berkata Malaikat: "Wahai Wildan jangan menangis, pergilah kamu memohon bantuan kepada Nabi Muhammad SAW." Setelah anak kecil ini mengadu kepada Nabi Muhammad SAW, maka Nabi Muhammad pun mengangkat kedua tangannya berdoa, lalu dikeluarkanlah orang-orang mukmin yang berda dalam neraka itu. Inilah syafaat Nabi Muhammad SAW yang ketiga di akhirat. Petama pada waktu ditimbang antara dosa dan pahala, yang kedua pada waktu meniti Shiratul Mustaqim yang ketiga ketika mengeluarkan orang dari dalam neraka. Maka ketika itu bertemulah antara anak-anak kecil tadi dengan kedua orang tuanya dengan perasaan gembira.
Firman Allah SWT yang maksudnya : "Pada hari itu mereka berjumpa dengan perasaan gembira. " (Ad-Dahr: 11)



Sunday, April 22, 2012





(Foto diambil daripada album Ctfand Kahar)

Sudah lama saya tidak update blog saya ini. Dulu niat di hati mahu delete blog ini. Di atas beberapa sebab-sebab tertentu. Tetapi rasa sayang. Rasa mahu biarkan saja. Buat tatapan sendiri. Sehinggalah hari ini saya mahu menulis lagi..

Hari ini saya berasa sangat sedih. Saya menangis. Sedih dengan keadaan anak seorang teman rapat saya semasa di sekolah menengah dahulu. Kali terakir berjumpa dia setahun lebih yang lalu semasa dia melahirkan anakanda Yanie di HKL. Dan selepas itu kami tidak pernah berjumpa lagi..



Hari Jumaat saya lihat status di FB dia. Rasa cemas kerana Yanie muntah-muntah non stop. Malamnya saya bertambah berdebar apabila status terbarunya mengatakan Yanie sudah dimasukkan ke ICU! MasyaAllah! Ini mesti serius..

Hari ini (Sabtu, 21 April 2012) saya sms dia. Bertanyakan apa sebenarnya yang berlaku. Mula-mula doktor mengatakan ianya jangkitan pneumonia. *Lega sikit rasa di hati* Tetapi kemudian dia sms mengatakan doktor akan melakukan brain scanning. Ya Allah. Saya sudah berfikir yang bukan-bukan. Mungkinkah Yanie terjatuh di taska dan sebab itulah dia muntah-muntah? Tetapi itu bukan sebabnya. Sahabat saya mengatakan doktor melakukan brain scanning kerana Yanie sudah tidak boleh mengawal pernafasan dan kencingnya sendiri. Dan peluang cuma ada 50-50. Akhirnya doktor mengesahkan yang Yanie mempunyai brain tumor yang berukuran 4cm x 2cm. Ya Allah! :(

Petang selepas Zuhur saya terus pergi ke KPJ Tawakal Hospital bersama suami dan anak-anak. Saya tahu dia pasti memerlukan sokongan daripada sahabat-sahabatnya. Lebih-lebih lagi keluarga berada jauh di Sabah.

Apabila saya tiba di ICU, saya terus memeluk sahabat saya ini. Dan tidak semena-mena air mata saya mengalir dengan lajunya. Kami menangis bersama-sama. Saya tahu dia sedih. Saya juga ibu seperti dia. Hanya Allah sahaja yang tahu perasaan saya semasa itu. Saya peluk dia erat-erat. Kalau boleh saya mahu dia berasa lega sedikit dengan mengetahui teman-temannya juga merasai apa yang dia rasa. Kasihan sahabat saya ini..

Apabila keadaan menjadi sedikit tenang, saya bertanyakan khabar Yanie. Yanie masih di dalam ICU dan keadaannya sangat tidak stabil. Mengikut kata doktor peluangnya untuk hidup sangat tipis sekali. Sahabat saya berbisik pada saya, dia redha sekiranya Yanie pergi dahulu. Dia tidak mahu Yanie terseksa lama. Ya Allah.. Tabahnya sahabat saya ini.

Dia masih mampu tersenyum. Dan wajahnya ceria tatkala melihat anak-anak dara saya. Dia mengusap-usap kepala anak-anak saya sambil mengatakan yang Yanie tidak sempat untuk bermain dengan anak-anak saya ini. MasyaAllah.. Saya menangis di dalam hati. Hanya Allah yang tahu perasaan saya di saat itu..

Dia bercerita lagi mengenai Yanie. Sebelum ini Yanie langsung tidak menunjukkan tanda-tanda brain tumor. Dia adalah anak gadis yang sangat ceria dan aktif. Dia tiada masalah pertuturan. Bahkan dia juga kelihatan sangat sihat. Dan sahabat saya mengatakan dia berasa sangat-sangat bangga dapat memiliki Yanie walaupun mungkin dipinjamkan Allah tidak sampai 2 tahun. Dan sahabat saya mengatakan yang dia sangat puas hati kerana dia berjaya menyusukan Yanie dengan susu ibu (yang tidak dapat dia lakukan semasa anak yang pertama). Saya menangis lagi di dalam hati. Dan mata saya juga berkaca-kaca berusaha menahan sebak. Tetapi dia tetap tersenyum..

Sahabat saya ini memang tabah. Sejak zaman sekolah lagi. Dia selalu kelihatan tenang dan matang. Tapi dalam hatinya tiada siapa yang dapat menjangka. Hanya Dia sahaja yang Maha Tahu..

Sahabat saya memberitahu saya yang sedari dulu lagi dia merasakan yang Yanie tidak akan hidup lama bersama mereka. Kerana itulah dia selalu mengambil gambar dan video Yanie. Dia mahu menyimpan sebanyak mungkin memori bersama-sama anak kecil itu. Saya cuma menganggukkan kepala. Naluri ibu kebiasaannya benar.. Namun saya tahu, dia pasti mahu mengharapkan lebih daripada itu..

Saya beredar seketika untuk membawa anak saya ke washroon. Apabila saya kembali sahabat saya baru sahaja masuk ke dalam ICU. Saya menunggu dengan sabar. Beberapa ketika kemudian dia keluar bersama suaminya. Dia berjalan dengan tenang walaupun wajahnya masih mendung. Tetapi suami yang berada di sisinya terus menangis dan dengan suara yang terketar-ketar mengizinkan kami untuk masuk melawat anaknya. MasyaAllah! Sekuat-kuat lelaki, hatinya masih lembut. Dan kasih ayah membawa ke syurga. Lantas saya cepat-cepat alihkan pandangan ke tempat lain. Suami saya juga saya lihat sudah berubah riak wajahnya. Mungkin dia juga berasa sedih dengan keadaan itu..

(Foto diambil daripada FB Ctfand Kahar)

Saya berpeluang masuk melawat Yanie di dalam ICU. Melihat wajahnya yang sangat tenang membuatkan air mata saya menitik lagi. Badannya penuh dengan wayar. Dadanya beralun tenang. Saya menangis lagi. Bayi dalam kandungan saya juga bergerak-gerak. Mungkin dia turut merasai kesedihan yang sedang saya alami. Yanie juga adakalanya seolah-olah bergerak perlahan. Dalam hati saya berkata-kata.. "Seandainya kematian itu lebih baik untuknya dan untuk ibu bapanya, maka Engkau matikanlah dia dengan tenang.. Dan seandainya kehidupan itu lebih baik padanya, maka Engkau panjangkanlah umur anak kecil ini ya Allah.." Dan air mata saya mengalir lagi..

Selepas saya keluar dari ICU, niat di hati terus mahu balik ke rumah. Saya bersalaman dan memeluk sahabat saya sekali lagi. Tetapi sekali lagi kami menangis bersama-sama. Ya Allah.. Kau berikanlah kesabaran dan kekuatan kepada sahabatku ini. Semoga dia terus tabah dan kuat seperti apa yang dia pamerkan di luarannya. Allah pasti tidak akan membebankan umatnya dengan satu-satu ujian yang tidak mungkin dapat dipikul oleh hamba-hambaNya. Dan saya berpesan pada dia, dia adalah insan istimewa yang dipilih oleh Allah untuk menghadapi ujian sekuat itu. Sangat istimewa menerima perhatian sebesar itu daripada Tuhan Yang Maha Agung. Dia cuma tersenyum dan berkata pada saya.. Saya adalah sebahagian daripada memori bersama Yanie kerana saya salah seorang yang menyokong dia menyusukan Yanie dengan susu ibu.. Ya Allah.. Sedih sungguh saya mendengar kata-kata sahabat saya itu..

(Si kecil Aryan selepas melalui pembedahan)


(Alhamdulillah Aryan membesar menjadi anak yang sihat dan aktif)

Saya pulang dengan hati yang berat.. Beberapa tahun yang lepas seorang sahabat saya juga pernah mengalami situasi yang sama (saat getir apabila anak yang baru dilahirkannya dikatakan oleh doktor tidak akan mungkin berjaya hidup lama di atas sebab penyakit jantung yang dialaminya). Tapi sahabat saya ini sangat tabah. Anak kecilnya yang bernama Aryan juga sangat kuat. Alhamdulillah berkat doa dan kesungguhan doa tanpa hijab sahabat saya ini Aryan sihat dan membesar menjadi anak yang sangat sihat sehingga kini. Allah is the Greatest! Sesuatu yang dirasakan sangat mustahil oleh manusia adalah sesuatu yang sangat mudah untuk diubah di sisi Allah..

Pada sahabat-sahabat yang membaca kisah ini saya mohon sangat-sangat untuk mendoakan kesejahteraan Yanie.. Semoga ada keajaiban untuknya.. Semoga Allah mengurniakan yang terbaik buat sahabat saya, suaminya, anak sulungnya (Kimi), dan anakanda istimewa (Yanie).. Allah lah sebaik-baik sandaran dan tempat memohon..


Thursday, November 17, 2011


Alhamdulillah.
Hari ini saya ada kesempatan untuk menulis di blog saya ini. Nampak gaya saya bukan penulis yang konsisten. Saya memang tak boleh menjadi penulis blog yang tegar lagi. *Hehe*.

Saya ada banyak kisah yang ingin dikongsi. Dan rasanya kisah2 ini semua menggembirakan hati. Alhamdulillah.

*Ini bukan perut saya*

Yang pertama, alhamdulillah dan syukur yang tidak terhingga, saya kini bakal menjadi mama kepada 4 orang kanak2 yang gembira. (Oh! Ibu beranak 4 kah?) *Hehe*. Mudah2an dipermudahkan sepanjang kehamilan dan masa melahirkan nanti. Si bongsu saya sekarang sudah berusia 1 tahun 9 bulan. (Hancur harapan saya mahu fully BF sampai 2 tahun penuh). Tapi tak mengapa la, sekurang2nya saya telah berusaha dan dia juga sihat dan ceria. Sekarang masih lagi BF, cuma saya sudah berhenti mengepam di ofis. Masing2 ada rezeki masing2.


Yang kedua, alhamdulillah saya ada 1 setengah bulan lagi untuk berhenti dari kerja sekarang dan menjadi WAHM (Work-At-Home-Mum) sepenuh masa. Bekerja dari rumah sambil menjaga anak. Macam mustahil kan? But this is the best buat saya buat masa sekarang. Lagipun di oversea sana, dah ramai ibu2 yang practise benda ni tau (kita ni kan semua benda suka ikut orang2 obesi.. :P) Sambil2 jaga anak, sambil2 buat duit. Syukur juga sebab saya berjaya mengharungi dan menepis semua 'dugaan' dan ' godaan' untuk menarik semula 'resignation letter' saya. *Hehe*. Kepada kawan2 saya itu, saya harap jangan bersedih hati atas pemergian saya. *Ekekekeke*. Rumah saya dekat saja, rindu2 boleh datang ke rumah. *Hehe lagi*.

Mm, apa la pulak kaitan dengan tajuk di atas ya? Nikmat kasih ibu. Ok, ini pendapat saya sahaja. Anda berhak mahu setuju ataupun tidak. Tapi saya membuat penafian siap2 ke atas apa yang saya tulis ini ya. Masing2 ada pendapat masing2.

Anak2 saya, paling gembira kalau hujung minggu. Paling gembira bila bawak jalan2. Paling gembira kalau saya masak yang best2. (Contohnya spagetti - itu harus la menjadi makanan kegemaran anak2 saya :P) Paling gembira kalau saya bacakan buku. Paling gembira kalau saya menyanyi bersama2 mereka.


Hmm.. Fikir2 semula, itu juga lah yang paling saya sukai semasa kecil. Saya paling suka bila mak menghantar saya ke sekolah (walaupun cuma di pintu rumah sahaja). Bila balik dari sekolah, sudah ada makanan tengahari tersedia. Petang2 mak buat kuih pula sambil kami adik beradik sama2 'membantu' mak saya *Ngee*. Kesimpulannya, sewaktu saya kecil saya terlalu mengharap dan menyayangi mak saya. Saya sangat suka bila mak saya ada di rumah. Sehingga sekarang ini pun (walaupun saya sudah tua :P), saya masih lagi mahu mak saya sentiasa ada di rumah apabila balik bercuti di kampung.

Mungkin suasana dan keperluan pada hari ini sudah berbeza. Tuntutan kewangan dan sebagainya. Ibu2 harus juga keluar bekerja. Keperluan setiap keluarga itu berbeza. Saya mungkin lebihkan yang ini, kurang yang itu, dan anda mungkin lebihkan yang itu, dan kurang yang ini.


Tetapi emosi anak2 itu tetap sama. Tidak pernah berubah dari dulu hingga sekarang. Saya pasti anak2 saya juga sangat mengharapkan agar saya selalu menjaga mereka. Dan di luar sana sebenarnya sudah ramai ibu2 yang mengambil keputusan seperti saya. Berhenti kerja makan gaji dan duduk di rumah menjadi bos dan kuli untuk diri sendiri. Mm, nampak sangat tradisional dan konservatifnya saya kan? *Haha*. Ok, sekali lagi saya tegaskan. Ini pendapat saya sahaja ya. Jangan cebik bibir pulak tauu. :P

*Sebagai contoh saje*

Seseorang pernah berkata pada saya. Anak2 akan bangga bila ibunya seorang yang bekerjaya. Saya cuma senyum saja. Saya hormat pendapat dia. Tapi bagi saya, anak2 saya masih tidak faham apa itu bekerjaya. Malahan tidak tahu pun beza kerja pensyarah dan tukang sapu sampah. Mereka masih terlalu naif. Apa yang saya tahu, pada saat emosi mereka yang sangat fragile ini, mereka cuma perlukan perhatian saya dan abahnya. Lain2 mungkin tolak ketepi. Jadi tidak ada salah kalau saya menolak untuk menjadi wanita hebat yang bekerjaya buat masa ini. Mungkin satu hari nanti bila mereka masing2 sudah boleh berdikari sendiri, menyambung pelajaran dan tinggal di asrama, saya mungkin boleh menjadi wanita yang bekerjaya semula.
Buat masa ini, sabar2 lah sedikit wahat hati.. :)

Jangan membenci saya di atas pendapat saya ini. Bagi saya kita semua bebas untuk menentukan apa yang terbaik buat diri, suami dan anak2 kita. Kalau anda mampu tidak menjadi masalah. Saya sangat respek pada ibu2 yang pandai menjaga masa dan membahagi kerja rumah, pejabat dan pelajaran serentak. Bagi saya mereka ibu2 yang hebat. Saya doakan semuanya akan menjadi ibu dan wanita Islam yang berjaya di dunia dan di akhirat.

Apa yang kita mahu, itulah yang akan kita dapat. Well said. Buat masa ini saya cuma mahu duduk di rumah bersama anak2 saya. Cuba untuk bekerja dari rumah. Cukuplah mereka sebagai penghibur saya di saat ini. Semoga mereka sentiasa menyayangi saya dan abahnya apabila mereka sudah berjaya nanti.

*Entri ini tiada usaha untuk mempengaruhi sesiapa pun.
Dan tolong jangan menyampah dengan pendapat saya ini ya. :D




Tuesday, July 12, 2011




Gambar sekadar hiasan :)


Sudah agak lama saya tidak men'update' blog saya ini. Bila saya ber'blogwalking' ke blog kawan2, baru saya tersedar sudah 3 bulan rupa2nya saya tidak membuat 'entry' terbaru. Wow! Sangat lama rupa2nya blog saya terbiar sepi. Mungkin saya perlu membuat 'Bersih 3.0' kali ini. *Hihi* Oh okay, tak lawak.

Beberapa ketika ini, saya melalui pelbagai fasa dalam kehidupan. Sentiasa mencari2satu peluang untuk berubah menjadi lebih baik daripada sebelumnya. Mahu menjadi isteri yang lebih taat pada suami, mahu menjadi ibu yang lebih hebat pada anak2, lebih berbakti pada ibu dan ayah, kesayangan adik beradik atau mahu menjadi teman susah senang pada kawan2 rapat.

Tahun depan Adam naik Tahun 1. Bermaksud 1 tahun lagi pertambahan usia untuk saya. Bermaksud bertambah lah tanggungjawab saya sebagai seorang pendidik buat anak2 saya. Saya sudah puas mencurah ilmu pada anak2 di Masterskill. Rasanya 3 tahun adalah satu tempoh yang lama (dan juga membosankan) bagi saya di tahap yang sama sepanjang masa. Kehidupan ini sangat signifikan. Saya mahu mencapai sesuatu yang saya benar2 inginkan.

Mungkin sudah tiba masanya untuk saya beralih bidang. Ya. Bidang yang bakal saya pilih ini bukan pilihan utama kebanyakan ibu2 di luar sana. Pilihan yang saya buat ini pasti akan membuatkan saya sudah tidak ada masa untuk bergosip2 bersama teman saya. Mencuba2 fesyen2 terkini. Merasa makanan yang enak dan pelik , ataupun berjimba2 di Jusco sewaktu makan tengahari.

Tetapi tidak mengapa kerana di usia saya ini saya sudah tahu apa yang saya mahukan. 3 tahun sudah cukup untuk saya merasai kehidupan pahit getir menjadi seorang ibu bekerjaya. Bekerja dengan 3 orang anak yang kecil, dan tanpa bantuan seorang bibik di rumah. Hehe. Memang sesuatu yang sangat indah untuk dikenangkan. Mujur ada My Other Half yang sentiasa sabar itu. Kehidupan yang agak 'stress' ini sentiasa berada pada 'mode so so' sahaja. Relax..

Rasanya sangat tidak sabar untuk menjadi 'Manager' besar di rumah. Mahu menjadi chef terhebat. Mahu menjadi 'nurse' yang hebat juga. Mahu menjadi 'cleaner' yang pantas membuat kerja. Mahu menjadi saintis. Mahu menjadi cikgu. Mahu menjadi ustazah. Mahu menjadi segala2 bagi anak2 dan suami. Semoga impian saya menjadi kenyataan. Semoga semua isi rumah ini tenang dan gembira dengan keputusan saya ini. Semoga akan ada hasil2 yang menggembirakan untuk tahun2 yang seterusnya.

Cukup lah anak2 saya menunggu di Taska setiap hari sehingga pukul 8 malam. Disuap makan oleh pengasuh yang kadang2 tidak cukup kenyang. Sudah sampai masa saya menggalas tanggungjawab itu. Tanggungjawab yang saya sukai. Yang sangat suami saya dambakan. Yang pasti saya sangat berdoa agar kesemua perubahan yang bakal berlaku nanti menyebabkan semua urusan kehidupan saya bakal mendapat kesenangan daripada Allah Tuhan pada sekalian alam.

Walau apa pun, setiap manusia mempunyai pilihan. Keutamaan sesebuah keluarga juga berbeza2. Setiap perancangan pasti ada hikmah di sebaliknya. Nikmati kehidupan ini seperti yang anda inginkan. Kehidupan yang singkat, yang melorong ke akhirat yang kekal. Semoga kita semua berada di jalan yang benar dan lulus. Kalau berasa seperti ada kekosongan. Cari lah sesuatu yang hilang itu.

Dan saya memilih untuk menjadi pembantu suami saya yang sebenar2nya.. Menjaga rumah dan zuriat2nya.. Kerana keluarga itu sangat berharga..

Saturday, April 9, 2011
*Credit to Mawar Nafastari*

Hari ini sudah 9 April 2011.
Sudah lebih sebulan saya mengetahui dan mengikuti berkenaan seorang hamba Allah yang telah pergi menemui Penciptanya yang Maha Pengasih. Namanya Nafastari. Dan dia telah meninggalkan Mawarnya yang tabah dan puteri2nya yang comel; Embun dan Kekwa.

Saya tidak pernah kenal dia. Saya cuma tahu melalui Facebook teman saya. Pelik tapi benar. Saya berasa sangat 'mengenali' dia. Saya rasa masih ramai di luar sana yang merasai perasaan yang sama seperti saya. Tapi tidak tahu mengapa..

Hari2 pertama selepas pemergian dia saya banyak menghabiskan masa untuk membaca blognya dan teman2 rapatnya. Dari satu blog ke blog yang lain. MasyaAllah.. Ramainya yang menulis tentang dia. Semuanya tentang dia yang baik. Ramainya yang sayang dia! Beruntunglah Nafastari di sana. Adakah ada orang yang mengingati seandainya saya pergi meninggalkan dunia yang fana ini? *sigh*

Rasa sedih. Rasa sedih dan kasihan pada Aini, Nadaa dan Marwaa. Memikir2 seandainya saya berada di tempat yang sama. Ya Allah... betapa kuatnya ujianMu terhadap keluarga ini. Ku mohon agar Engkau kurniakan kesabaran yang tinggi buat Mawar. Semoga syurga buat keluarga yang tabah ini. Saya turut add Aini dalam Facebooknya semata2 ingin mengetahui situasi mereka. Dan apabila saya mampu, saya akan menitipkan sedikit kata2 semangat buat Mawar Nafastari. Selebihnya, saya berasa sedih, dan cuma mampu untuk menjadi silent reader sahaja.

Semalam saya mendapat berita tentang pemergian junior saya di sekolah dahulu. Baru 29 tahun umurnya. Punya anak satu *. Dijemput di atas sebab kanser paru2. Sungguh mati tidak mengenal usia dan waktu. Apabila saatnya tiba tidak berdaya untuk mempercepat ataupun melewatkan walau sesaat pun. Semoga suaminya tabah. Begitu juga dengan sahabat saya Suilin Moslin. Saya doakan semoga diberi kesabaran dan kekuatan. Dan semoga anak2nya yang satu itu sentiasa mendapat kasih sayang ayahnya sampai bila2 dan sentiasa mengingati ibunya yang telah tiada..

*Ralat: Saya baru mendapat tahu yang arwah sebenarnya mempunyai 2 orang anak yang masih kecil.. Dan yg bongsu baru berumur 2 bulan.. Sedihnya saya bertambah2 apabila terbayang2 si anak kecil mencari2 ibunya untuk mendapatkan setitis susu..*


Melihat wajah suami dan anak2, saya tiba2 berasa sayu.
Seandainya saya pergi dulu saya cuma berharap agar kehidupan tetap diteruskan dengan sempurna. Mungkin akan terasa kekurangan, cuma masa pasti akan menyembuhkan. Saya berdoa semoga suami saya sentiasa menyayangi dan melindungi anak2 saya walaupun suatu hari nanti dia perlu untuk mendapatkan suri untuk melengkapkan kehidupannya. Semoga saya tidak akan 'mati' dalam hatinya. Dan semoga anak2 saya akan menjadi anak2 yang hidup dan mati mereka kerana Allah. Semoga saya juga akan sentiasa ada di setiap doa suami dan anak2 saya. Dan semoga Allah yang Maha Pengasih dan Pemurah akan memanjangkan jodoh kami di kehidupan yang kekal abadi..

Wahai kaumku! Sesungguhnya dunia ini hanyalah kesenangan
(untuk sementara waktu sahaja) dan sesungguhnya hari akhirat itulah sahaja negeri yang kekal.

(Al-Gafir: 39)

Sesungguhnya janji Allah itu sangat benar..
Semoga kemenangan bagi insan2 yang bersabar..
La Tahzan Mawar dan Suilin..

Tentang Saya

My Photo
Lin Chalo
Bandar Tun Hussein Onn, Selangor, Malaysia
♥ Wanita biasa-biasa yang mahu menjadi isteri yang hebat di sisi suaminya ♥ Ibu biasa-biasa yang mahu menjadi mama yang hebat di mata anak-anaknya ♥ Insan yang sangat biasa-biasa yang menginginkan orang lain mendapat manfaat daripadanya ♥ Mengharapkan supaya Allah memandangnya dengan penuh rahmat dan kasih sayang ♥ Sangat menyokong penyusuan susu ibu sepenuhnya ♥ || Tanpa prejudis ||
View my complete profile

I Heart Breastfeeding

Generated image

Me on Facebook



Kisah Famili

Sahabat KiM

Sahabat Sweet 17

Followers

Cari Makan

Inspirasi & Motivasi

Saya Mahu Jadi Top Chef

Sahabat

Sahabat WAHM & SAHM

Sahabat Maya