Monday, April 23, 2012


Sedih.

Anakanda Yanie telah pergi untuk selama-lamanya. Dalam usia yang belum mencapai usia 2 tahun.

Alhamdulillah.

Syukur. Dia pergi sebagai bidadari syurga. Tanpa dosa. Tanpa hisab. Tanpa persoalan apa-apa pun dari Penciptanya. Dan dia pergi dengan redha kedua ibu bapanya. Walaupun secara tiba-tiba, dan cuma memberikan peluang 3 hari untuk ibu bapanya menatang dirinya sebelum pergi untuk selama-lamanya.

Cemburu.

Saya 'cemburu' pada sahabat saya. Dia pilihan Allah. Diberikan kesedihan yang teramat di dunia demi kegembiraan di akhirat. Bukankah akhirat itu matlamat UTAMA kita? Di sana sudah ada bidadari kecil yang menantinya. Menunggu ibu bapanya dengan penuh rindu..

**

Semalam sebelum saya melelapkan mata, saya menerima sms daripada sahabat saya. Sms yang menyebabkan saya mengucap syukur alhamdulillah. SubhanAllah Maha Suci Allah. Dan saya tidur dengan perasaan gembira dan berharap agar saya mendapat khabar gembira lagi keesokan harinya..

Namun ketentuan Allah tidak ada sesiapa pun yang tahu. Esoknya mendapat berita duka di FB sahabat saya. Innalillahi wa ina ilahirraji'uun.. Yanie sayang telah pergi untuk selama-lamanya.

Mulanya saya tidak menangis. Saya cuma terdiam. Beberapa ketika baru berani menghubungi sahabat saya.

Suaranya tenang sahaja. Saya mengucapkan takziah dan sabar. Saya tahu dia kuat. Di akhir perbualan dia menyatakan yang dia sempat dodoikan Yanie sebelum dia menghembuskan nafasnya yang terakir. Sahabat saya mendodoi anaknya dengan kalimah la ilaha illallah.. Sejurus selepas talian diputuskan, barulah saya menangis mengenangkan perasaannya sewaktu membelai anaknya untuk kali terakhir. SubhanAllah.. dia diberikan kesempatan oleh Allah untuk berada di samping si bidadari Syurga buat kali terakhirnya di dunia ini. Bagaimana dengan pengakhiran kita? Ya Allah..

Saya maklumkan kepada suami. Dan kami berhajat mahu pergi mengiringi bidadari kecil untuk kali terakhirnya perjalanan dia di dunia ini. Kami sampai di tanah perkuburan Sungai Ramal dan di sana sudah ramai kawan-kawan sahabat saya sudah berkumpul. Sayu hati saya melihat jenazah Yanie. Melihat ayahandanya yang berada di liang juga menyebabkan hati saya sebak. Dia menurunkan anaknya dan bersungguh-sungguh melakukannya dengan tabah. Saya mencari-cari kelibat sahabat saya. Dari jauh saya melihat dia asyik mengesat air matanya. Saya tidak mahu pergi dekat. Saya juga berasa sedih. Bimbang saya dan dia akan menangis di saat-saat kesabaran harus dihadapi. Tidak elok menangis di tanak perkuburan. Carilah redha dan tabah sebanyak-banyaknya. Apabila doa dibacakan, saya duduk di belakang sahabat saya. Dan saya terpaksa 'keras'kan hati tatkala mendengar pertanyaan anak sulungnya Kimi mengapa adiknya masuk ke dalam tanah? Saya hanya diam. Sahabat saya cuma memeluk Kimi. Saya tahu dia sangat berperang dengan perasaan sedihnya di saat itu. Kasihan si abang Kimi. Dia masih terlalu kecil untuk memahami erti perpisahan dan kematian. Bagaimana dia mahu menghadapi suasana di rumah tanpa adik kecilnya? Ya Allah.. Kuatkan lah semangat mereka ini..

Saya bergegas pulang selepas semuanya selesai. Saya memeluk sahabat saya. Dia meminta saya doakan dia agar diberikan kesabaran. Saya cuma tersenyum dan berkata jangan risau.. Allah telah memilihmu menjadi ibu kepada bidadari Syurga.. Dan saya tidak ada itu semua.. Kamu adalah pilihan Allah..
Semoga dia menjadi ibu yang redha terhadap kehilangan yang sementara ini..

Sahabatku Siti Alinah yang sangat saya kasihi.. Di harap tulisan di bawah ini dapat memberikan senyuman buatmu dan suamimu.. Semoga kalian berdua tabah dan kuat sehingga bertemu lagi dengan si bidadari syurga Sarah Izzyanie di akhirat kelak.. Semua yang terjadi adalah yang terbaik dijadikan oleh Allah untuk kamu berdua..

Di samping para malaikat dan Hurul-Aini (bidadari syurga), maka kanak-kanak yang meninggal dunia sebelum baligh juga menyambut kedatangan ibu bapanya di pintu syurga.

Sabda Rasullulah saw yang bermaksud : "Ketika aku mikraj ke langit, tiba-tiba aku mendengar suara kanak-kanak. Aku bertanya : " Wahai Jibril, siapakah mereka itu?" Jibril menjawab : Mereka adalah anak cucu orang Islam yang meninggal dunia sebelum baligh. Mereka itu diasuh oleh Nabi Ibrahim AS sampai orang tuanya datang."
(HR. Abu Daud)
Anak-anak orang Islam yang meninggal dunia pada waktu kecil, di alam Barzakh dia dikumpulkan pada suatu tempat di bawah penjagaan Nabi Ibrahim as. Setelah kiamat tiba, mereka langsung dipindahkan ke dalam syurga. Jadi mereka tidak melalui Mahsyar, hisab, mizan dan sebagainya.
Sabda Rasullullah SAW yang bermaksud : "Tiap-tiap anak orang Islam yang mati sebelum baligh akan dimasukkan ke dalam syurga dengan rahmat Allah."
(HR. Bukhari dan Muslim)
Setelah dipindahkan ke dalam syurga, maka anak-anak kecil ini lupa kepada kehidupan dunia. Mereka lupa kedua ibu bapanya, lupa kepada kampung halamannya dan sebagainya. Tiba-tiba pada suatu hari, ketika mereka sedang bermain-main menikmati kesenangan syurga, maka ada malaikat yang memberitahukannya: "Wahai Wildan, lupakah kamu kepada kedua orang tuamu? Sekarang mereka sudah berada di pintu syurga.
Ketika itulah baru mereka tahu dan ingat kembali kepada ayah bonda mereka yang selama ini mereka lupakan.
Mendengar apa yang dikatakan oleh malaikat itu, dalam keadaan menangis dan membawa air dengan segera mereka berlari menuju ke pintu syurga. Sesampainya di sana, mereka melihat Hurul-Aini sedang tegak berbaris sepanjang jalan dengan memakai pakaian dan perhiasan yang serba indah.
Setelah pintu syurga terbuka, dengan diiringi nyanyian merdu Hurul-Aini, maka orang-orang pun berebut masuk ke dalamnya, dan ketika itulah anak-anak kecil ini sibuk mencari kedua ibu bapanya. Mereka mencari ke sana ke mari, tetapi tidak berjumpa. Sambil menangis dan memgang air di tangan maka pergilah mereka kepada malaikat serta bertanya: "Wahai malaikat, mana ayah dan ibu kami?"
Menjawab malaikat: Wahai Wildan, sungguh malang nasib kamu, kedua orang tua kamu terjatuh ke dalam neraka." Mendengar ungkapan yang demikian itu, maka anak kecil tadi menangis sejadi-jadinya, menangis menghiba dengan ratapan yang menyayat hati: "Wahai ibuku, wahai ayahku, apakah kesalahanmu? Apakah dosamu sehingga kamu terjatuh ke dalam neraka? Begitulah ratapan mereka.
Berkata Malaikat: "Wahai Wildan jangan menangis, pergilah kamu memohon bantuan kepada Nabi Muhammad SAW." Setelah anak kecil ini mengadu kepada Nabi Muhammad SAW, maka Nabi Muhammad pun mengangkat kedua tangannya berdoa, lalu dikeluarkanlah orang-orang mukmin yang berda dalam neraka itu. Inilah syafaat Nabi Muhammad SAW yang ketiga di akhirat. Petama pada waktu ditimbang antara dosa dan pahala, yang kedua pada waktu meniti Shiratul Mustaqim yang ketiga ketika mengeluarkan orang dari dalam neraka. Maka ketika itu bertemulah antara anak-anak kecil tadi dengan kedua orang tuanya dengan perasaan gembira.
Firman Allah SWT yang maksudnya : "Pada hari itu mereka berjumpa dengan perasaan gembira. " (Ad-Dahr: 11)



Sunday, April 22, 2012





(Foto diambil daripada album Ctfand Kahar)

Sudah lama saya tidak update blog saya ini. Dulu niat di hati mahu delete blog ini. Di atas beberapa sebab-sebab tertentu. Tetapi rasa sayang. Rasa mahu biarkan saja. Buat tatapan sendiri. Sehinggalah hari ini saya mahu menulis lagi..

Hari ini saya berasa sangat sedih. Saya menangis. Sedih dengan keadaan anak seorang teman rapat saya semasa di sekolah menengah dahulu. Kali terakir berjumpa dia setahun lebih yang lalu semasa dia melahirkan anakanda Yanie di HKL. Dan selepas itu kami tidak pernah berjumpa lagi..



Hari Jumaat saya lihat status di FB dia. Rasa cemas kerana Yanie muntah-muntah non stop. Malamnya saya bertambah berdebar apabila status terbarunya mengatakan Yanie sudah dimasukkan ke ICU! MasyaAllah! Ini mesti serius..

Hari ini (Sabtu, 21 April 2012) saya sms dia. Bertanyakan apa sebenarnya yang berlaku. Mula-mula doktor mengatakan ianya jangkitan pneumonia. *Lega sikit rasa di hati* Tetapi kemudian dia sms mengatakan doktor akan melakukan brain scanning. Ya Allah. Saya sudah berfikir yang bukan-bukan. Mungkinkah Yanie terjatuh di taska dan sebab itulah dia muntah-muntah? Tetapi itu bukan sebabnya. Sahabat saya mengatakan doktor melakukan brain scanning kerana Yanie sudah tidak boleh mengawal pernafasan dan kencingnya sendiri. Dan peluang cuma ada 50-50. Akhirnya doktor mengesahkan yang Yanie mempunyai brain tumor yang berukuran 4cm x 2cm. Ya Allah! :(

Petang selepas Zuhur saya terus pergi ke KPJ Tawakal Hospital bersama suami dan anak-anak. Saya tahu dia pasti memerlukan sokongan daripada sahabat-sahabatnya. Lebih-lebih lagi keluarga berada jauh di Sabah.

Apabila saya tiba di ICU, saya terus memeluk sahabat saya ini. Dan tidak semena-mena air mata saya mengalir dengan lajunya. Kami menangis bersama-sama. Saya tahu dia sedih. Saya juga ibu seperti dia. Hanya Allah sahaja yang tahu perasaan saya semasa itu. Saya peluk dia erat-erat. Kalau boleh saya mahu dia berasa lega sedikit dengan mengetahui teman-temannya juga merasai apa yang dia rasa. Kasihan sahabat saya ini..

Apabila keadaan menjadi sedikit tenang, saya bertanyakan khabar Yanie. Yanie masih di dalam ICU dan keadaannya sangat tidak stabil. Mengikut kata doktor peluangnya untuk hidup sangat tipis sekali. Sahabat saya berbisik pada saya, dia redha sekiranya Yanie pergi dahulu. Dia tidak mahu Yanie terseksa lama. Ya Allah.. Tabahnya sahabat saya ini.

Dia masih mampu tersenyum. Dan wajahnya ceria tatkala melihat anak-anak dara saya. Dia mengusap-usap kepala anak-anak saya sambil mengatakan yang Yanie tidak sempat untuk bermain dengan anak-anak saya ini. MasyaAllah.. Saya menangis di dalam hati. Hanya Allah yang tahu perasaan saya di saat itu..

Dia bercerita lagi mengenai Yanie. Sebelum ini Yanie langsung tidak menunjukkan tanda-tanda brain tumor. Dia adalah anak gadis yang sangat ceria dan aktif. Dia tiada masalah pertuturan. Bahkan dia juga kelihatan sangat sihat. Dan sahabat saya mengatakan dia berasa sangat-sangat bangga dapat memiliki Yanie walaupun mungkin dipinjamkan Allah tidak sampai 2 tahun. Dan sahabat saya mengatakan yang dia sangat puas hati kerana dia berjaya menyusukan Yanie dengan susu ibu (yang tidak dapat dia lakukan semasa anak yang pertama). Saya menangis lagi di dalam hati. Dan mata saya juga berkaca-kaca berusaha menahan sebak. Tetapi dia tetap tersenyum..

Sahabat saya ini memang tabah. Sejak zaman sekolah lagi. Dia selalu kelihatan tenang dan matang. Tapi dalam hatinya tiada siapa yang dapat menjangka. Hanya Dia sahaja yang Maha Tahu..

Sahabat saya memberitahu saya yang sedari dulu lagi dia merasakan yang Yanie tidak akan hidup lama bersama mereka. Kerana itulah dia selalu mengambil gambar dan video Yanie. Dia mahu menyimpan sebanyak mungkin memori bersama-sama anak kecil itu. Saya cuma menganggukkan kepala. Naluri ibu kebiasaannya benar.. Namun saya tahu, dia pasti mahu mengharapkan lebih daripada itu..

Saya beredar seketika untuk membawa anak saya ke washroon. Apabila saya kembali sahabat saya baru sahaja masuk ke dalam ICU. Saya menunggu dengan sabar. Beberapa ketika kemudian dia keluar bersama suaminya. Dia berjalan dengan tenang walaupun wajahnya masih mendung. Tetapi suami yang berada di sisinya terus menangis dan dengan suara yang terketar-ketar mengizinkan kami untuk masuk melawat anaknya. MasyaAllah! Sekuat-kuat lelaki, hatinya masih lembut. Dan kasih ayah membawa ke syurga. Lantas saya cepat-cepat alihkan pandangan ke tempat lain. Suami saya juga saya lihat sudah berubah riak wajahnya. Mungkin dia juga berasa sedih dengan keadaan itu..

(Foto diambil daripada FB Ctfand Kahar)

Saya berpeluang masuk melawat Yanie di dalam ICU. Melihat wajahnya yang sangat tenang membuatkan air mata saya menitik lagi. Badannya penuh dengan wayar. Dadanya beralun tenang. Saya menangis lagi. Bayi dalam kandungan saya juga bergerak-gerak. Mungkin dia turut merasai kesedihan yang sedang saya alami. Yanie juga adakalanya seolah-olah bergerak perlahan. Dalam hati saya berkata-kata.. "Seandainya kematian itu lebih baik untuknya dan untuk ibu bapanya, maka Engkau matikanlah dia dengan tenang.. Dan seandainya kehidupan itu lebih baik padanya, maka Engkau panjangkanlah umur anak kecil ini ya Allah.." Dan air mata saya mengalir lagi..

Selepas saya keluar dari ICU, niat di hati terus mahu balik ke rumah. Saya bersalaman dan memeluk sahabat saya sekali lagi. Tetapi sekali lagi kami menangis bersama-sama. Ya Allah.. Kau berikanlah kesabaran dan kekuatan kepada sahabatku ini. Semoga dia terus tabah dan kuat seperti apa yang dia pamerkan di luarannya. Allah pasti tidak akan membebankan umatnya dengan satu-satu ujian yang tidak mungkin dapat dipikul oleh hamba-hambaNya. Dan saya berpesan pada dia, dia adalah insan istimewa yang dipilih oleh Allah untuk menghadapi ujian sekuat itu. Sangat istimewa menerima perhatian sebesar itu daripada Tuhan Yang Maha Agung. Dia cuma tersenyum dan berkata pada saya.. Saya adalah sebahagian daripada memori bersama Yanie kerana saya salah seorang yang menyokong dia menyusukan Yanie dengan susu ibu.. Ya Allah.. Sedih sungguh saya mendengar kata-kata sahabat saya itu..

(Si kecil Aryan selepas melalui pembedahan)


(Alhamdulillah Aryan membesar menjadi anak yang sihat dan aktif)

Saya pulang dengan hati yang berat.. Beberapa tahun yang lepas seorang sahabat saya juga pernah mengalami situasi yang sama (saat getir apabila anak yang baru dilahirkannya dikatakan oleh doktor tidak akan mungkin berjaya hidup lama di atas sebab penyakit jantung yang dialaminya). Tapi sahabat saya ini sangat tabah. Anak kecilnya yang bernama Aryan juga sangat kuat. Alhamdulillah berkat doa dan kesungguhan doa tanpa hijab sahabat saya ini Aryan sihat dan membesar menjadi anak yang sangat sihat sehingga kini. Allah is the Greatest! Sesuatu yang dirasakan sangat mustahil oleh manusia adalah sesuatu yang sangat mudah untuk diubah di sisi Allah..

Pada sahabat-sahabat yang membaca kisah ini saya mohon sangat-sangat untuk mendoakan kesejahteraan Yanie.. Semoga ada keajaiban untuknya.. Semoga Allah mengurniakan yang terbaik buat sahabat saya, suaminya, anak sulungnya (Kimi), dan anakanda istimewa (Yanie).. Allah lah sebaik-baik sandaran dan tempat memohon..


Tentang Saya

My Photo
Lin Chalo
Bandar Tun Hussein Onn, Selangor, Malaysia
♥ Wanita biasa-biasa yang mahu menjadi isteri yang hebat di sisi suaminya ♥ Ibu biasa-biasa yang mahu menjadi mama yang hebat di mata anak-anaknya ♥ Insan yang sangat biasa-biasa yang menginginkan orang lain mendapat manfaat daripadanya ♥ Mengharapkan supaya Allah memandangnya dengan penuh rahmat dan kasih sayang ♥ Sangat menyokong penyusuan susu ibu sepenuhnya ♥ || Tanpa prejudis ||
View my complete profile

I Heart Breastfeeding

Generated image

Me on Facebook



Kisah Famili

Sahabat KiM

Sahabat Sweet 17

Followers

Cari Makan

Inspirasi & Motivasi

Saya Mahu Jadi Top Chef

Sahabat

Sahabat WAHM & SAHM

Sahabat Maya